MAHAR KEBERKATAN

Apabila jodoh ditemukan dan kedua pihak telah bersetuju untuk dinikahkan maka sebagai syarat yang penting dalam pernikahan ialah pihak lelaki dikehendaki memberi hadiah atau mahar kepada pihak wanita. Ini adalah syarat terpenting untuk membuatkan pernikahan itu sah dari hukum syarak. Allah memerintahkan supaya wanita yang akan dikahwini diberi mahar. Allah menyatakan, “Ya Rasul, sesungguhnya kami telah menghalalkan kamu isteri kamu yang telah kamu berikan kepadanya mahar.”
Di dalam ayat yang lain Allah menyatakan, Dan untuk wanita kamu, berikanlah mereka mahar sebagai hadiah dan jika dia memberi kepada kamu sebahagian dengan kerelaannya, maka makanlah dengan senang hati dan gembira.” Allah mewajibkan mahar sebagai hadiah untuk wanita yang dikahwini. Mahar adalah sebagai tanda cintanya sudah diterima.
Apabila cinta atau kasih yang ditawarkan oleh teruna diterima oleh si dara maka sebagai tanda kesyukuran kepada Allah yang memberikannya isteri maka mahar dibayar. Mahar hanyalah tanda, yang penting wanita itu menerima serta membalas cintanya dan bersedia bersamanya mengharungi lautan hidup. Oleh kerana mahar adalah tanda kegembiraan bagi pihak lelaki, maka ianya hendaklah diberi dengan hati yang penuh ikhlas, tulus, suci dan gembira. Ianya tidak patut diberi sebagai satu bebanan dan tekanan bagi pihak lelaki.
Pihak wanita janganlah menganggapnya sebagai satu tuntutan yang patut dibayar oleh pihak lelaki kerana berjaya meminangnya. Pihak wanita tidak patut menganggap mahar sebagai ganti untuk anaknya. Oleh kerana anak wanita kami berpelajaran tinggi, cantik dan mempunyai kedudukan maka bayaran mahar hendaklah tinggi. Mahar dianggap sebagai bayaran atau harga wanita yang dikahwini.
Allah memberitahu mahar adalah hadiah dari pihak lelaki untuk pihak wanita. Mahar hendaklah dibayar oleh pihak lelaki mengikut kemampuannya. Lelaki hendaklah memberinya dengan penuh perasaan kasih dan tanpa tekanan. Pihak wanita tidak patut membuat tuntutan yang membebankan nya. Jika lelaki itu lelaki yang kaya dan berharta maka maharnya adalah mengikut kemampuannya. Jika dia seorang yang berpendapatan rendah maka maharnya mengikut kemampuannya. Tidak ada had atau batas di dalam memberi mahar. Ianya diberi mengikut kemampuan yang memberi. Mahar boleh merupakan sebentuk cincin emas yang bertatahkan berlian atau hanyalah sebentuk cincin suasa.
Mahar boleh merupakan segenggam barli atau kurma dan boleh juga sepasang kasut. Seorang wanita dari Bani Fajarah dikahwinkan dengan mahar sepasang kasut. Nabi Muhammad bertanyakan dia, sama ada dia berpuas hati dengan mahar hanya sepasang kasut. Wanita itu menjawab dia berpuas hati. Maka Nabi Muhammad membenarkan lelaki itu mengahwininya.
Dari hadis di atas, jelas menunjukkan mahar adalah hadiah dari pihak lelaki dan pihak wanita pula bersetuju menerimanya. Mahar adalah lambang ikatan yang dibuat antara dua insan. Ia tidak patut diberatkan. Apabila mahar dibayar mengikut kemampuan pihak lelaki maka perkahwinan menjadi mudah untuk semua orang. Melakukannya apabila jodohnya telah ditemui. Penzinaan, maksiat akan berkurangan kerana peluang untuk berkahwin dipermudahkan untuk semua orang.
Apa yang memberatkan anak muda yang mempunyai nafsu yang tinggi untuk berkahwin ialah maharnya yang tinggi. Bagi melepaskan syahwatnya mereka bercinta dan tidur seperti suami isteri tanpa nikah. Apabila mereka berkahwin, wanita itu sudah tidak ada lagi daranya. Inilah yang berlaku dalam masyarakat yang menyusahkan dan memberatkan pernikahan. Penzinaan menjadi perkara biasa. Lelaki muda pergi berkunjung ke sarang pelacuran untuk memuaskan nafsu. Jangkitan penyakit kelamin seperti AIDS akan merebak seperti api. Masyarakat itu menuju kepada kehancuran.
Kenapa mahar dimahalkan. Ini berlaku kerana masyarakat cintakan kebendaan dan kesucian. Mereka mahu nama dan kemegahan daripada taat kepada perintah Allah. Ini terjadi kerana iman lemah dan cinta dunia bersarang dalam hati. Akhirnya masyarakat yang tidak mengamalkan agama pasti akan dihancurkan, oleh amalan mereka sendiri.
Jikalau kita ingin kebaikan dan keberkatan di dalam perkahwinan, maka mudahkan lah ia. Semakin hampir pernikahan itu seperti pernikahan anaknya Nabi Muhammad iaitu Fatimah, maka semakin berkat lah ia. Perkahwinan Ali dan Fatimah dijalankan dengan sederhana sekali. Ali tidak mempunyai apa-apa pun untuk berkahwin. Dia hanya mempunyai sebuah perisai perang yang dijadikan mahar buat Fatimah.

No comments:

Post a Comment